Thursday, March 20, 2014

Pencarian MH370 dedah sensitiviti dan persaingan pertahanan serantau

Kesan taufan Haiyan yang melanda Filipina tahun lalu, tentera China telah dilihat tidak bersedia dari sudut bantuan kemanusiaan dan bencana, apabila sumbangan kepada misi bantuan amat sedikit.

Antara bantuan China yang dapat diperhatikan ialah sebuah kapal hospital, tetapi tentera Amerika Syarikat menyediakan pelbagai kemudahan logistik dan bantuan lain, dalam tempoh yang segera dan memberi kesan yang besar.

Kali ini, kehilangan pesawat Boeing 777 Penerbangan Malaysia yang melibatkan ramai rakyat China menimbulkan lagi isu bantuan oleh tentera, apabila sekali lagi AS lebih mendahului dalam misi mencari dan menyelamat, dan China kelihatan semakin menyedari implikasi politik serantaunya.

Kelebihan logistik dan aset AS kelihatan jauh lebih mengatasi China, dan pencarian di Laut China Selatan dan kemudian Lautan Hindi menunjukkan penguasaan AS di kedua-dua medan persaingan AS-China itu.

Pada masa sama, China juga tidak mempunyai hubungan politik dan ketenteraan dengan beberapa negara Asia Tenggara seperti halnya AS, yang menjalankan aktiviti daripada ketenteraan, diplomasi dan juga diplomasi awam.

Di Malaysia misalnya, lawatan kapal-kapal AS melibatkan pelbagai aktiviti diplomasi, termasuk majlis resepsi dengan pemimpin tentera dan politik di atas kapal dan lawatan ke misi kebajikan ke rumah anak yatim.

Tahun lepas, lawatan kapal USS Blue Ridge ke Pelabuhan Klang melibatkan majlis mesra dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan penyampaian anugerah kepada rekrut muda tentera Malaysia.

Sebelum itu, persinggahan kapal pengangkut pesawat USS George Washington juga melibatkan majlis yang meriah, dengan liputan meluas media cetak dan elektronik tempatan, memperlihatkan kejayaan diplomasi awam lawatan itu.

China, kali ini, mula menunjukkan kesediaan yang lebih berbanding bencana taufan Haiyan, apabila menghantar aset-aset dan menunjukkan kesediaannya menjalankan misi menyelamat, dan paling utama, menunjukkan peranannya di rantau ini.

Menurut laporan Reuters, China telah menghantar empat kapal perang, empat kapal pengawal pantai, lapan pesawat dan menumpukan 10 satelit ke kawasan carian.

Kawasan Laut China Selatan yang pada awalnya menjadi fokus pencarian ialah kawasan yang dipertikaian, melibatkan China dengan beberapa negara Asia Tenggara termasuk Vietnam dan Malaysia.

Dalam misi mencari dan menyelamat ini, persaingan AS dengan China, walaupun bukan menjadi fokus utama, tetap menjadi satu isu yang menarik untuk diperhatikan.

Hakikatnya, China bersaing dengan AS dalam usaha mencari dan mahu menunjukkan kemampuannya dalam hal ini untuk menegaskan kredibilitinya dan tuntutan peranan dominan di rantau ini.

China juga, akibat insiden ini, telah menunjukkan sikap yang berbeza daripada biasa dengan Malaysia, apabila menegur pihak berkuasa Malaysia yang didakwa lambat dan tidak berkongsi maklumat yang cukup.

Ini menambahkan senarai tindakan China yang cuba menampakkan peranan dominannya di rantau ini, selepas pencerobohan di James Shoal dekat perairan Sarawak tahun lepas.

Selain persaingan ini, misi mencari dan menyelamat ini juga boleh menimbulkan ketegangan dan rasa tidak selesa dalam kalangan negara serantau terlibat, dari sudut kerjasama seperti perkongsian data.

Apapun yang terlibat, termasuk nyawa orang awam, perkongsian yang boleh mendedahkan rahsia tidak akan dibenarkan oleh mana-mana pihak, dan perkongsian data juga dibuat kemungkinan dengan tapisan tertentu.

Pelbagai isu sensitif boleh timbul daripad insiden ini. Malaysia kini berada dalam keadaan defensif, apabila terdedah kepada negara-negara jiran yang tidak ada tindakan ketika pesawat MH370 berpusing balik dan melintasi semenanjung menuju ke barat, yang mendedahkan kekurangan dalam keupayaan pemantauan ruang angkasa negara.

Negara-negara terlibat tidak akan mendedahkan perkara yang memalukan, dan ini menimbulkan kemungkinan sensitiviti keselamatan menjejaskan pencarian kerana ada pihak tidak mendedahkan maklumat yang kritikal.

India, sebuah lagi negara yang mempunyai kekuatan tentera laut dan terlibat dalam persaingan di Lautan Hindi dengan China, telah menyatakan yang ia tidak mengesan pesawat tersebut memasuki ruang pemantauannya.

Kepulauan Andaman dan Nicobar di barat laut Selat Melaka yang pernah dikatakan satu lokasi kemungkinan MH370, ialah satu lokasi strategik yang amat penting kepada India.

India juga mempunyai sensitiviti yang perlu dijaga, disebabkan penglibatan besar China dalam insiden MH370 ini dan penegasan kedudukannya di rantau berdekatannya dan di Asia-Pasifik.

Insiden kehilangan pesawat Boeing 777 Malaysia ini, dan misi mencari dan menyelamat mencetuskan pelbagai implikasi melibatkan hubungan Malaysia dengan negara-negara serantau dan kuasa besar AS dan China, yang selama ini diimbangi dengan baik oleh Kuala Lumpur.

Persaingan antara kuasa-kuasa terbabit di kawasan perairan yang menjadi medan perlumbaan dominasi menjadikan tragedi ini lebih daripada satu bencana melibatkan Malaysia dan anak kapal terlibat, tetapi berkait langsung dengan politik serantau. - Mac 18, 2014

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...